Friday, January 01, 2010

AHLAN WA SAHLAN 2010



Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera...

Sedar tak sedar kita sekarang sudah berada pada tahun baru masehi iaitu tahun 2010. Rasanya baru sahaja kita menyambut tahun baru hijrah. Kini tiba pula tahun baru 2010.Sungguh cepat masa berlalu meninggalkan kita.Tanpa disedari tahun demi tahun umur kita semakin meningkat.manakala kematian pula semakin dekat. Kedatangan tahun baru ini sewajarnya menyedarkan dan menginsafkan diri kita betapa kita masih lagi dikurniakan oIeh Allah dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya. Kita seharusnya menunjukkan kesyukuran dan terima kasih kita kepada-Nya atas pemberian nikmat tersebut, salah satu caranya ialah dengan muhasabah diri.

Muhasabah diri bermaksud merenung sejenak adakah kita telah menggunakan masa yang diperuntukkan kepada kita dengan sebaiknya?. Adakah ibadah kita ditunaikan dengan penuh ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah?. Adakah kita telah menunaikan hak Allah dan hak sesama manusia dengan sebaiknya?. Apakah amalan kita pada tahun yang lepas mendatangkan manfaat kepada Islam dan umatnya?. Persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab oIeh kita sebagai satu muhasabah diri bagi menghadapi tahun baru yang menjelang tiba. Tahun silih berganti dan sudah tentu apa yang kita lakukan pada tahun ini tidak sama dengan apa yang kita lakukan pada tahun sebelumnya.

Perubahan terus-menerus berlaku dalam kehidupan ini. Detik dan masa yang berlalu telah hilang dan menjadi catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan serta diulang kembali. Manakala masa yang sedang dan akan kita tempuhi memerlukan kebijaksanaan kita untuk mengaturkannya.

Justeru, marilah sama-sama kita menanam tekad dan azam dalam diri supaya dapat melakukan yang terbaik dalam menghadapi tahun baru ini. Sebagai umat Islam kita perlu terus mempertingkatkan daya usaha ke arah menjana kemajuan diri umat dan negara, sesuai dengan tuntutan ajaran Islam. Janganlah kita mudah berputus asa atau lemah semangat di atas dosa, kesalahan, kegagalan atau bencana yang menimpa. Malah jadikanlah cabaran dan ujian yang telah dihadapi sebagai satu proses kematangan ke arah yang lebih baik .

"Katakanlah Wahai Muhammad: Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua maha pengampun lagi maha mengasihani. Kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta berserah sepenuh hati kepada-Nya sebelum kamu didatangi azab siksanya, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan".
(Az-zumar:53-54)


Akhir kalam, marilah sama-sama kita menggilap azam baru, untuk bangun memperbaiki diri kita, sebagai umat yang paling baik "Khaira Ummah". Hendaklah kita sambut ketibaan tahun baru, dengan penuh keinsafan, penuh harapan dan persediaan. Di samping itu, marilah sama-sama kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana diberi umur panjang, dalam keadaan sihat , selamat dan sejahtera.selamat Tahun baru 2010.Semoga kita terus berada di bawah payung Rahmat Allah. Kuatkan azam dan teruskan perjuangan. Wallahu'alam.

p/s: Sedikit lampiran gambar yang sempat dirakamkan pada Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin sempena semester baru dan Tahun baru 1431 H dan juga tahun baru 2010M yang diadakan pada 31/12/2009.



(Antara yang hadir,bacaan yassin dan Tahlil dipimpin oleh saudara Hadi,Pelajar master)



(Majlis Tahlil sempena tahun baru dan semester baru 31/12/2009 di Acacesiavenue 209 bersama dengan sahabat2 Dakwah dan Pengurusan Islam Tahun 3.Azhar selaku tuan rumah memberikan sedikit taujihat.)


Taujihat!!:

Marilah kita kembali untuk muhasabah diri Sempena Memasuki Tahun Baru ini. Marilah kita kembali memperbetulkan gerak kerja atau hidup kita. Marilah kita lakukan apa yang lebih baik daripada hari ini, hari esok dan seterusnya. Semoga kita akan menjadi umat contoh yang berjaya.

"Wahai orang yang beriman!, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat menyeluruh pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan". (Al-Hasyr:18)