Saturday, July 30, 2011

RAMADHAN 1432 H

Ramadhan kembali lagi. Menandakan tibanya bulan puasa. Bulan kita menahan lapar dahaga di siang hari. Bagi orang yang beriman, bulan puasa amat dinanti-nantikan seperti Nabi, para sahabat dan para solihin. Sementara golongan sebaliknya, merasakan ia suatu penyiksaan kerana terpaksa meninggalkan makan minum dan rutin seharian. Insyaallah umat islam di Malaysia akan menyambut Ramadhan 1432H pada 1 Ogos 2011.


Alhamdulillah kita masih diberikan kesempatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Bulan yang penuh barakah. Setiap amalan dilakukan, pahalanya akan digandakan. Inilah nikmat yang paling besar dalam kehidupan Muslim apabila tibanya Ramadhan. Maka buatlah yang terbaik untuk Allah SWT sehingga sampai ke peringkat Taqwa sebagaimana FirmanNya :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah Al-Baqarah ayat 183)



RAMADHAN BULAN IBADAH DAN BULAN MUJAHADAH


Dari abu Hurairah radhiallahu ‘anhu :


“ Adalah Rasulullah SAW memberi khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda, Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan, diwajibkan ke atas kalian berpuasa, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan, dan didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan barangsiapa yang tida memperoleh kebaikkannya maka tidak akan dapat memperoleh apa-apa’’. (Diriwayatkan oleh Ahmad dab Ab-Nasa’i)


Berdasarkan hadis di atas , kita sepatutnya berusaha untuk merebut peluang dan keuntungan yang terbuka luas di hadapan kita itu. Tetapi soalnya sejauh mana kita boleh menghayati bahawa bulan Ramadhan merupakan musim meraih pahala melalui ibadah?


Kita harus ingat yang Allah S.W.T memperuntukkan keistimewaan yang banyak ini adalah untuk kepentingan umat Islam sendiri. Antara keistimewaan itu ialah menjadikan Ramadan sebagai bulan yang utama dan penuh keberkatan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Kalau siangnya diwajibkan puasa sebagai amalan fardu, qiam pada malamnya merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan. Bahkan sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan melakukan amalan sunat pada malam Qadar itu ganjarannya sama dengan melakukan amalan fardu dalam bulan yang lain.


Bagi memperolehi ganjaran pahala yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan maka jiwa kita hendaklah diasuh dan diasah untuk mendekati dengan Allah SWT serta bermujahadah melawan hawa nafsu. Pada bulan Ramadhan tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan oleh Allah SWT melalui latihan-latihan dan keistimewaan yang di sediakan secara khusus antaranya ialah kewajipan ibadat puasa.


Ibadat Puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT seperti yang terkandung dalam Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah Al-Baqarah ayat 183)


Takwa adalah buah dan hasil yang diharapkan dari amalan puasa. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan diperbolehkan Allah SWT. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah SWT dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan-Nya.


Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah yang lain dengan mengisi ruang-ruang yang ada seperti bersolat taraweh, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaan-Nya. Ingatlah bahawa amalan wajib dan sunat di sepanjang bulan ini merupakan latih tubi insan kepada pembersihan hati, mendisiplin anggota badan, mengukuhkan akhlak dan mencegah penyakit.



RAMADHAN BULAN MENGUJI KESABARAN


Selain itu, bulan Ramadan juga disebut sebagai bulan untuk menguji kesabaran umat Islam. Sememangnya kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Maka sesiapa yang melakukan amalan fardu dengan penuh kesabaran, sudah tentu ganjarannya besar iaitu sama seperti melakukan 70 amalan fardu dalam bulan yang lain.


Ramadhan dan Kesabaran,bagai isi dan kuku. Tak terpisah kerana mempunyai signifikan dengan ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadhan. Menahan makan dan minum dari azan subuh hingga maghrib,di iringi dengan menjaga akhlak dan mengawal hawa nafsu. Tentu sekali kesemua perkara yang dilakukan tadi memerlukan kesabaran. Ketika berpuasa, kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malah seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa..


Dari Abu Hurairah,Rasulullah SAW bersabda:


لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهُلَ عَلَيْكَ فَلْتَقُلْ : إِنِّي صَائِمٌ ، إِنِّي صَائِمٌ


“Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan sia-sia dan kata-kata kotor. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau membodohimu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”. (HR. Ibnu Khuzaimah 3: 242. Al A’zhomi mengatakan bahwa sanad hadits tersebut sahih )


Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِى أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ


“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta malah mengamalkannya, maka Allah tidak memerlukan (puasa orang itu yang) meninggalkan makan dan minumnya .” (HR. Bukhari no. 1903).



RAMADHAN MENDIDIK JIWA SUPAYA BERSYUKUR


Sabar dan syukur dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Dengan bersyukur tentunya kita akan jauh lebih mudah untuk bersabar. Ramadhan mendidik kita supaya bersyukur dengan segala apa yang dianugerahkan kepada kita. Bulan ini juga mengajar kita erti lapar dan dahaga yang dirasai oleh golongan fakir miskin selama ini. Selain itu, bulan ini juga mentarbiah jiwa kita supaya tidak membazir dan tidak terlalu bakhil untuk memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Firman Allah swt :


وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ


Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri (Luqman: 12)


Dalam ayat yang lain Allah berfirman :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih (Ibrahim: 7)


Bulan Ramadhan dikatakan bulan kerjasama dan bantu membantu. Bahkan dalam bulan ini, Allah menambahkan lagi rezeki kepada umat Islam yang menyediakan juadah berbuka kepada orang yang berpuasa. Pahalanya sama dengan memerdekakan seorang hamba, tanpa mengira apakah jenis juadah yang disediakan itu.Dalam hal ini, ramai juga umat Islam yang menganjurkan majlis berbuka puasa sama ada di rumahnya atau di masjid atau surau atau bersama anak-anak yatim . Amalan ini wajar diteruskan malah perlu diperbanyakkan lagi.


KESIMPULAN


Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan peluang ganjaran pahala yang di janjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadat kepada-Nya. Bulan impian ini merupakan anugerah Allah kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi. Sama-sama kita memenuhi masjid dan surau untuk melakukan ibadah terutamanya solat taraweh dan bertadarus al-Quran yang banyak keistimewaannya.


Akhir kalam, Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:


مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ


Maksudnya: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”


Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak 1432H