Wednesday, January 07, 2015

Kuliah Pertama MISDEV'11

Assalamualaikum wbt...

Hari ini hari pertama saya sebagai pelajar ISDEV. Pagi-pagi lagi saya melangkah kaki keluar dari rumah, dari Sungai Petani menuju ke ISDEV,USM dengan penuh bersemangat. Walaupun keadaan trafik agak sesak pada pagi ini, namun alhamdulillah tepat jam 8.30 pagi saya selamat tiba di hadapan pintu masuk ISDEV. Kelas Epistemologi dan Tawasur Islam akan bermula pada jam 9.00 pagi setiap hari isnin. Oleh kerana saya tiba 30 minit lebih awal sebelum kelas bermula, saya sempat meninjau di sekitar dalam dan luar banggunan Isdev. Sementara menunggu, saya sempat meneliti papan-papan kenyataan di ISDEV. Satu persatu info-info yang terdapat disitu saya amati. Kelas bermula sebaik sahaja Dr.Suekainah tiba. Kelas pagi ini di mulakan dengan bacaan Asmaulhusna seterusnya tazkirah,sesi taaruf,pengenalan kepada kursus Epistemologi dan Tawasur Islam dan sedikit pengenalan kepada kursus Islamic Research Methodolgy serta beberapa pengumuman penting.

Apa yang membuatkan saya tertarik pada kelas hari ini ialah, di mana kelas di mulakan dengan Asmaul Husna dan tazkirah. Perkara pertama yang di tanya oleh Dr. Suekainah dalam kelas hari ini ialah, tahukah anda kisah Nabi Musa as dengan Nabi Khidir?Apa pengajaran yang boleh diambil melalui kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir? Saya mula menggaru kepala menandakan ingat-ingat lupa serta cuba mengingati kembali sirah nabi tersebut. Dr.Suekainah cuba mengajak kami berfikir dan menelusuri kembali kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s seperti yang terkandung dalam Al-Quran di dalam surah Al-Kahfi ayat 60-82. Ketika mana Nabi Musa sangat berhajat untuk bertemu dengan Nabi Khidir kerana baginda mengetahui Nabi Khidir sangat banyak ilmu dan kebijaksanaan yang dimiliki. Nabi Musa mulanya menyangka bahawa kepada beliau lah ALLAH Taala memberi pengetahuan secara lansung, rupanya ada lagi manusia yang hebat dan akhirnya baginda berdoa untuk bertemu dengan Nabi Khidir serta belajar dan mengikutnya. Mulanya Nabi Khidir menolak untuk membenarkan Nabi Musa mengikutnya kerana pada penilaiannya Nabi Musa tidak mampu bersabar untuk belajar dengannya. Namun setelahmana nabi Musa terus meminta, akhirnya Nabi Khidir bersetuju dengan syarat beliau tidak bertanya apa yang dilakukan oleh Nabi Khidir sehingga di beritahu.

Namun begitu, semasa pengembaraan mereka, Nabi Khidir a.s telah melakukan 3 perkara berikut :

  • Memecahkan kapal nelayan miskin
  • Membunuh seorg budak
  • Mendirikan tembok di sebuah kampung tanpa meminta upah sedangkan mereka memerlukan makanan untuk bekalan
Di lihat pada setiap kejadian dan perbuatan yang di lakukan oleh Nabi Khidir a.s, sudah tentu kita akan merasa hairan dan ingin bertanya mengapa Nabi Khidir melakukan perkara tersebut. Begitu juga Nabi Musa a.s di mana Baginda tidak sabar dan telah melanggar syarat yang dikenakan. Akhirnya apabila kejadian ke-3 , Nabi Khidir memutuskan Nabi Musa a.s tidak boleh mengikutnya lagi. Cukup sampai disitu sahaja pengembaraan mereka. Namun begitu, di akhir sekali setelah tamatnya pengembaraan mereka, Nabi Khidir a.s memberikan jawapan mengapa beliau melakukan perkara tersebut:

Alasan untuk perbuatan no.1:

“Adapun perahu itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku bertujuan merusakkan perahu itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap perahu.” (Q:18:79)

Alasan untuk perbuatan no.2:

“Dan adapun anak itu, kedua orang tuanya adalah mukmin, dan kami khawatir kalau dia akan memaksa kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. (Q:18:80)
Dan kami menghendaki, supaya Tuhan mereka menggantikan dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya daripada anaknya itu dan lebih dalam kasih sayangnya (kepada ibu bapanya)”.(Q:18:81)

Alasan untuk perbuatan no.3;

“Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya tersimpan harta bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang saleh, maka Tuhanmu menghendaki agar keduanya sampai dewasa dan mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan apa yang kuperbuat itu bukan menurut kemahuanku sendiri. Itulah keterangan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak sabar terhadapnya".(Q:18:82
Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tersebut. Namun apa yang saya faham dan dapati dari tazkirah yang disampaikan oleh Dr.Sukainah dalam kuliah hari ini ialah bagaimana beliau cuba untuk kaitkan dengan situasi semasa kami sebagai seorang pelajar yang menuntut ilmu. Antaranya ialah :

1- Hendaklah sentiasa sabar. Terutamanya dalam menuntut ilmu. Dalam kisah ini,walaupun nabi Musa a.s telah berjanji bahawa baginda akan sabar dalam menuntut ilmu dari Nabi Khidir, ternyata dek kerana fitrah manusia yang sentiasa ingin tahu dan kurang sabar, Nabi Musa telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan yang mana mengakibatkan berakhirnya kembara mereka. Begitu juga kita, dalam menuntu ilmu hendaklah bersabar dengan cabaran,dugaan dan susah senang serta pahit jerih dalam proses kita mencari ilmu.

2- Taat dan patuh kepada guru. Dalam kisah tersebut, Nabi Khidir telah memberi syarat kepada Nabi Musa supaya dilarang bertanya. Namun, nabi Musa Melanggar syarat tersebut. Sama lah dalam kita menuntut ilmu.Apabila sesuatu arahan itu diberikan,hendaklah kita patuh pada arahan tersebut selagi mana ia tidak melanggar syariat. Selain itu, penting juga kita menghormati guru walaupun terdapat perbezaan dari segi kedudukan,ilmu dan sebagainya.

Selain itu, terdapat banyak lagi ibrah dan pengajaran lain yang boleh diambil dari kisah tersebut antaranya ialah :

  • Allah s.w.t mahu mengajar Nabi Musa a.s yang mengaku dirinya paling berilmu di atas bumi. Sepatutnya beliau mengatakan Allah itulah yang Maha Mengetahui tentang segala-galanya. Allah s.w.t menyatakan kepadanya bahawa di sana ada seorang hamba Allah yang tidak dikenali Nabi Musa a.s dengan memperolehi ilmu dari Allah yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s. Inilah punca pertemuan di antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s.

  • Setelah bertemu, Nabi Musa a.s diberitahu oleh Nabi Khidir a.s bahawa ilmu kedua-dua mereka tidak mempunya sebarang erti dibandingkan dengan ilmu Allah, dan ilmu-ilmu mereka tidak sedikitpun mengurangkan ilmu Allah sama seperti air laut yang tidak kurang sedikitpun keran diminum burung.

  • Tindakan-tindakan Nabi Khidir a.s adalah hasil wahyu sebenar dari Allah s.w.t , bukan cuma khayalan atau ilham. Ini ialah kerana pembunuhan ke atas seseorang tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana sangkaan buruk. Sebab itulah Nabi Khidir a.s berkata: '' Apa yang telah aku lakukan itu bukan kehendakku sendiri .'' Ini berertu beliau hanyalah menjalankan perintah Allah yang sebenar dan wahyunya qat'i .

Begitulah tazkirah yang disampaikan oleh Dr.Suekainah serta perkongsian idea dari sahabat Misdev'11 yang lain sewaktu kelas Epistemologi dan Tawasur Islam tadi yang dapat saya kongsikan. Pengisian yang sangat bermanfaat. Mudah-mudahan kita beroleh kefahaman dan pengajaran dari apa yang dikongsikan. Wasalam.