Thursday, July 08, 2010

Peristiwa Israk dan Mikraj

Alhamdulillah,bersyukur kepada Allah Tuhan Pencipta Alam diatas nikmat yang diberikan.Selawat dan Salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad Saw serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Setiap bulan-bulan Islam ada keistimewaannya tersendiri. Antaranya ialah bulan Ramadhan yang mana umat islam di wajibkan berpuasa selama sebulan dan terdapat padanya 1 malam yang di namakan Lailatul Qadar. Kemudian bulan Zulhijjah dimana di fardhukan ke atas umat islam untuk menunaikan haji disamping terdapat ibadah korban yang diberi pahala yang sangat besar. Selain itu ,bulan Rabiul awal pula mencatatkan sejarah yang sangat besar iaitu kelahiran nabi kita Muhammad SAW. Manakala bulan Muharram pula mencatatkan 1 peristiwa yang sangat besar di mana berlaku peristiwa hijrah nabi dari kota mekah ke madinah.

Bulan Rejab juga mencatatkan 1 peristiwa besar dan penting dalam sirah nabawiyyah dan sejarah Islam. Peristiwa yang di maksudkan ialah peristiwa Isra' dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj memang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad saw.Ia merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung,iaitu Rasulullah SAW.

Pada bulan Rejab, selepas 11 tahun baginda saw dilantik sebagai Rasul, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan baginda saw telah ditimpa dua musibah berturut-turut. Baginda telah kehilangan dua insan tersayang; iaitu kewafatan Siti Khadijah, isteri tercinta. Kemudian Nabi saw menerima musibah dengan kematian bapa saudara baginda, Abu Talib. Kedua-dua insan ini banyak membantu Nabi saw dalam usaha meyebarkan syiar Islam. Sanggup menghadapi ancaman dan cabaran daripada kafir Quraisy. Sanggup bersusah-payah dan menghadapi serba kemungkinan dan fitnah jahat daripada penentang Islam.

Demikianlah Allah swt telah menghiburkan Nabi saw dengan peristiwa Israk dan Mikraj – membasuh kedukaan dan kenestapaan yang bersarang di hati Rasulullah. Israk bererti perjalanan Nabi saw dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini dirakamkan dalam al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Maha suci Allah yang telah menperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haraam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesunguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’:1)


Mikraj pula bermaksud perjalanan baginda saw dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, sebagaimana digambarkan dalam al—Quran yang bermaksud:


“Dan demi sesungguhnya! (Nabi saw) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi Sidartulmuntaha; yang di sisinya terletak syurga Jannatul-Makwa. Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratulmuntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemendangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18)


Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.Antaranya

1- Rasulullah telah ditunjukkan seorang tua yang tidak henti-henti menambahkan beban yang sedang dipikulnya walaupun dia sudah tidak mampu untuk membawanya. Kisah ini merujuk kepada seseorang yang memegang terlalu banyak pekerjaan yang menjadi tanggungjawabnya tetapi tidak ada satu pun yang ditunaikannya dengan baik. Sepatutnya seseorang itu hanya menerima tugas yang dia sanggup menyelesaikannya dengan baik sahaja, bukannya bersifat tamak atau ingin menunjuk-nunjuk untuk menjadi lebih popular.

2- Rasulullah saw. juga ditunjukkan seorang lelaki yang suka makan makanan yang telah tercemar, berbau busuk, sedangkan di sampingnya terdapat makanan yang bersih dan baik. Peristiwa ini digambarkan kepada seseorang lelaki yang suka berzina, isterinya sendiri tidak dipedulikannya malah menjadi kesukaannya untuk melanggani pelacur, sehingga akhirnya dia mengidap pelbagai penyakit seperti AIDS, siflis, dan pelbagai penyakit kelamin lagi sehingga menghancurkan institusi kekeluargaan.

3- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

4- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

5- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

6- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

7- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

8- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10-Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.


13- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Disamping itu,antara hikmah yang paling besar dalam perisitwa israk dan mikraj adalah bagaimana Rasulullah menerima tugas dan perintah dari Allah swt. untuk menunaikan ibadah Solat 50 waktu. Selepas bertemu dengan Nabi Musa,baginda di suruh supaya merayu kepada Allah agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. Begitulah sifat Rasulullah yang begitu sayangkan umatnya melebihi segala-galanya.


Ada banyak lagi hikmah yang terdapat dalam peristiwa israk dan mikraj. Antaranya Rasulullah dipertemukan dengan Nabi-nabi sebelumnya di setiap pintu langit atau tangga( Mikraj).Sehinggalah Mikraj yang ke 10, bagaimana baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan nabi Muhammad di situ.


Kesimpulannya,peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.


p/s: Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi.

No comments:

Post a Comment