Thursday, December 17, 2009

HIJRAH



Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman

Assalamualaikum w.b.t.,salam sejahtera dan salam Maal Hijrah. Lirik lagu diatas adalah lirik lagu maal hijrah yang begitu sinonim bagi kita di Malaysia. Kalau di hayati betul-betul lirik tersebut,ia mempunyai maksud yang signifikan dan sungguh indah sekaligus dapat menyemarakkan lagi semangat dan azam bersempena menyambut tahun baru hijrah yang bakal menjelma beberapa hari sahaja lagi. Namun begitu, apa yang di kesalkan sebilangan besar dari kita lebih mengigati taqwim masihi sehingga terlupa tentang takwim hijri di mana banyak mencatatkan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah islam.

Tanyalah diri kita masing-masing tentang sejauh manakah penggunaan taqwim Hijrah untuk mengatur urusan hidup kita seharian? bagaimanakah mungkin kita dapat menentukan waktu solat, puasa Ramadan, hari raya dan beberapa lagi hari penting dalam Islam tanpa kita merujuk kepada taqwim Hijrah?. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, memartabatkan penggunaan taqwim Hijrah, agar identiti umat Islam lebih terserlah. Bersempena dengan maal hijrah yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi,saya ingin membawa kepada pembaca sekalian memahami dan menghayati pengertian hijrah dan pembangunan islam.


Pengertian Hijrah

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik, maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi.Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Tuhan memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka."

Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Pertolongan Allah s.w.t akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama Allah. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud :

'Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu'.
Allah s.w.t membekalkan kita dengan cukup kelengkapan untuk menjadi manusia yang boleh berdikari dan berikhtiar dalam menentukan arah kehidupan. Kita dibekalkan dengan peralatan yang membolehkan kita memasuki dan merubah segala apa yang ada di sekeliling kita dan juga apa yang ada di dalam minda (pemikiran, persepsi, kesedaran dan emosi).

Justeru untuk memastikan perubahan diri manusia, kita perlu meneliti pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan. Antaranya ialah melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan juga pembangunan fizikal.

Pembangunan Jiwa

Pembangunan jiwa merupakan suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertakwa. Ianya merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh semua umat. Ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh. Manusia secara umumnya akan menggunakan kecerdasan akal dan juga kekuatan yang ada pada tubuh badannya untuk membina tamadun material. Justeru pembangunan jiwa ini seharusnya diaplikasikan dengan sebaik mungkin untuk memastikan tamadun material yang akan terbina kelak tidak akan sia-sia.

Namun untuk memastikan cita-cita tersebut tercapai, jiwa insan perlulah diisi dengan perasaan cintakan Allah dan Rasul serta cinta kepada kehidupan akhirat. Ini seterusnya akan dapat menyedarkan manusia tentang matlamat hidupnya di atas muka bumi ini. Dan di sini seluruh manusia perlu memikul dua tanggungjawab utama iaitu selaku hamba Allah dan selaku khalifah Allah.Sebagai hamba Allah, manusia dikehendaki mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Az-Zariat ayat 56 yang bermaksud :

'Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku'.

Mengabdikan diri kepada Allah termasuklah melaksanakan seluruh perintah dan menjauhi segala larangan-Nya dan juga mengekalkan rasa kehambaan. Sebagai khalifah Allah pula, manusia telah dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan muka bumi Allah ini berpandukan segala hukum-hakam dan syariat Allah dalam segenap aspek kehidupan seperti bidang ekonomi, perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan dan sebagainya. Justeru kesedaran terhadap tanggungjawab ini yang lahir dari jiwa seorang mukmin yang sebenar, sudah pasti dapat membawa perubahan kepada ummah dan seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam seperti suatu waktu dahulu.

Pembangunan Mental

Pembangunan insan juga mestilah menitikberatkan pembangunan mental (akal). Akal manusia mestilah diisi dengan pelbagai jenis ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk mempelajarinya. Antara ilmu yang perlu dititikberatkan ialah ilmu berkenaan dengan Fardhu Ain seperti ilmu Tauhid, Feqah dan juga Tasawwuf serta ilmu-ilmu pengetahuan yang lain seperti ilmu Sains dan Geografi. Melalui ilmu tersebut, para pelajar tidak akan sahaja mengenali hakikat sesuatu kejadian berdasarkan kepada sifat tabiinya sahaja, bahkan mereka akan cuba berfikir bahawa di sebalik segala kejadian tersebut, ada Penciptanya iaitu Allah s.w.t. Kesan sampingan yang akan timbul ialah mereka akan berasa takjub atas kekuasaan Allah ini dan seterusnya akan mendorong jiwa mereka untuk tunduk patuh kepada perintah-Nya.

Selain daripada pengisian ilmu yang bermanfaat, akal juga haruslah dibangunkan dan dibentuk melalui perbincangan, penyelidikan dan juga pembacaan. Aktiviti-aktiviti lain seperti mengembara dan melancong juga akan dapat menajamkan akal. Sewaktu mengembara, kita tentunya akan memperolehi banyak pengalaman, pengajaran dan hikmah kejadian alam sejagat. Bermusyawarah dan berbincang juga secara tidak langsung akan dapat menghasilkan kefahaman yang lebih mendalam kepada akal kita. Di samping itu, Islam juga menganjurkan kita supaya menjaga adab-adab bermusyawarah supaya manfaatnya akan terhasil semaksima mungkin. Hasil perbincangan dan penyelidikan tentang sesuatu perkara seperti muzakarah tentang hukum, sudah tentu dapat dimanfaatkan oleh sekalian muslimin. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud :

'Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk'.

Pembangunan Fizikal

Sekiranya jiwa dan akal sahaja dibangunkan, tetapi fizikal lemah, maka tamadun Islam dan peribadi muslim juga akan terhalang pembinaannya. Kalau diamati, apakah faedah yang dapat diperolehi daripada seorang manusia yang lemah tubuh badannya, tidak bermaya dan lesu? Setiap masa ditimpa dengan pelbagai jenis penyakit. Kita tidak menafikan bahawa sakit itu merupakan ujian dari Allah s.w.t. Namun demikian, seseorang manusia itu tidak boleh menempah maut dengan membiarkan dirinya diselubungi dengan pelbagai jenis penyakit yang mungkin boleh membawa maut.

Oleh itu, kita perlu memiliki fizikal yang sihat untuk membina tamadun Islam selaras dengan kehendak Allah s.w.t yang mahukan hamba-Nya menjadi khalifah di muka bumi ini. Tubuh yang sihat akan melahirkan akal yang sihat, seterusnya dapat merancang pelbagai perkara untuk manfaat umat Islam sejagat.

Untuk meningkatkan taraf kesihatan diri, kandungan makanan yang diambil perlulah seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam galian, vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah berpunca daripada sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah mengikut kehendak syarak. Ini amat bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 172 :
'Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya'

Segala adab makan dan minum yang telah dianjurkan oleh Islam juga perlulah diamalkan. Di samping itu juga, kita perlu melakukan aktiviti senaman untuk membina badan yang sihat dan minda yang cerdas.

Setelah memenuhi kesemua aspek yang telah diterangkan tadi, maka kita akan dapat merasakan berlakunya suatu perubahan yang amat ketara di dalam jiwa dan minda kita. Dan di sini sudah tentunya proses pembinaan insan sudah mula tercapai dengan sebaik yang mungkin.

Kesan Perubahan

Setelah proses pembinaan insan sudah meresap di dalam diri dan minda kita, maka sudah tentulah mudah untuk kita mencurahkan segala sumbangan yang bermanfaat sama ada untuk kebaikan agama, masyarakat dan juga negara. Dari segi agama kesan perubahan kepada penghayatan Islam yang sebenar, sudah tentu dapat mengelakkan sebarang perselisihan ataupun kekeliruan berkenaan perkara-perkara asas dalam agama Islam itu sendiri. Malahan jauh sekali untuk kita mengenepikan golongan ulama yang merupakan pewaris para nabi di dalam hal-hal yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Di samping itu, generasi yang mantap pembinaan peribadinya akan mampu memainkan peranan untuk mengembangkan penghayatan Islam itu sendiri. Ini secara jelas telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud :

'Kamu (wahai umat Muhammad ) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)'.

Proses untuk mengembangkan penghayatan Islam itu boleh dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan juga cara-cara yang formal atau tidak formal untuk memastikan penghayatan Islam itu akan mencapai matlamatnya semaksimum yang mungkin. Suasana ini bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan berdisiplin tetapi ianya juga akan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai imej yang tinggi, mendapat keberkatan dari Allah s.w.t dan meletakkan Islam di tempat yang selayaknya di atas muka bumi ini.

Sumbangan kepada negara juga dapat dicapai dengan menjauhkan sentimen perkauman ataupun perasaan anti pembangunan. Umat yang terbaik ialah umat yang berfikiran secara optimis dengan melihat bahawa setiap pembangunan yang dilaksanakan ada kebaikannya. Namun, pembangunan material dan pembangunan insan mesti dipastikan berjalan seiringan di antara kedua-duanya. Ini penting supaya negara yang wujud kelak berkeadaan aman dan makmur serta terhindar dari segala unsur-unsur yang boleh memusnahkan pembangunan ummah dan negara itu sendiri. Apabila sesebuah masyarakat itu kukuh, maka akan lahir pula tokoh-tokoh yang berwibawa yang menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat.

Kesimpulannya, tuntutan penghayatan hijrah dalam erti kata perubahan diri dari segi jiwa, mental dan fizikal kini semakin mendesak. Ini memandangkan kepada suasana sosial yang semakin parah dewasa ini. Umat Islam kini tidak ada pilihan lain selain daripada merealisasikan tuntutan hijrah dalam pengertiannya yang sesuai bagi menjamin kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Pelbagai cara dan pendekatan telah diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk memantapkan lagi proses pembinaan insan yang berkualiti dan bertakwa. Namun, apa yang pentingnya ialah inisiatif dalam diri kita untuk mengaplikasikan konsep hijrah itu sendiri. Dan perlu juga diingatkan bahawa segala usaha yang dibuat bagi pembinaan insan yang kamil dari segi jiwa, mental dan fizikal hendaklah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

'Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, di mana kamu semua tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul'.
(Hadith Riwayat Imam Malik)

(Dipetik dari artikel asal nukilan : Naim Fahmi Hj. Ahmad Tajuddin (Panel Penulis Jakim )

Sumber:
http://www.islam.gov.my

p/s: SELAMAT TAHUN BARU 1431H

1 comment: